Sign Up KerisWarisan helps you connect and share with the people in your life.

Busana Kelantan

Busana Kelantan

Legenda Cik Siti Wan Kembang, seorang Raja Perempuan yang memerintah negeri Kelantan di dalam kurun ke-17 menyaksikan keindahan pakaian yang tetap anggun dan manis dipakai oleh kaum wanita Kelantan. Menggunakan tiga helai kain, sehelai kain sarung songket dipakai di pinggang, sehelai kain sutera panjang dibelit di dada sebagai kemban, sehelai selendang songket panjang dilampaikan di bahu dan diperindah pula dengan perhiasan gerek seperti cucuk sanggul, dokoh, pending, tali pinggang dan gelang tangan.

Budaya busana tradisional tetap terpelihara dan diperhalusi agar sejajar dengan tuntutan agama lalu selendang dipakai menutup kepala. Lelaki pula tampan bergaya dengan Baju Mengan atau Baju Putera Raja dipakai tidak sedondon. Diganding juga dengan seluar Aceh bersama samping Limar berbunga dan bengkungnya Lima Tapak Catur.
Busana Kelantan1
Lelaki memakai pakaian petani Baju Melayu Cekak Musang, samping kain batik dan kepala dililit kain semutar. wanita memakai Kebaya Kota Bharu dan kain batik lipat wiron.

Busana Kelantan2
Lelaki memakai Baju sikap atau Baju Putera Raja dari kain baldu bersulam benang emas. Kain samping diikat lepas dan memakai tengkolok ikatan garam sebuku. Wanitanya memakai pakaian kebesaran Cik Siti Wan Kembang berkemban jantan, kain sarung ropol di depan dan memakai selendang songket jong sarat sebagai penutup bahu dan dada. hiasan diri ialah gendik, dokoh, tali pinggang dan pending.

Busana Kelantan3
Pakaian Pak Yong di dalam Dramatari Melayu Mak Yong ditarikan sejak 400 tahun dahulu sebagai hiburan di istana. Pada masa dahulu pakaiannya terdiri dari baju sempit dan seluar dibuat dari kain satin, yang dipadankan dengan kain samping labuh dan dikemaskan dengan tali pinggang. Bahagian dada dihiasi sibar layang atau la dari manik-manik halus berwarna-warni seperti kolar baju layang. Perhiasan kepala dibuat dari baldu membentuk mahkota berhiaskan batu-batu permata dan memakai sunting malai di telinga.

Busana Kelantan4
Lelaki menggayakan Baju Sikap Kelantan fabrik sari sutera, bersamping sutera tenun dan seluar satin kuning kemerah-merahan. Tengkolok ikatan kreatif. Wanita menggayakan Baju Kebaya Labuh renda dan sarung songket serta selendang organza.

Busana Kelantan5
Wanita menggayakan pakaian tarian Asyik. Baju broked berkain songket, dihiasi selendang sifon, pending, dokoh dan gendek menghiasi dahi.

Busana Kelantan6
Pakaian asal Cik Siti Wan Kembang yang diubahsuai. Kain kemban dari broked dan kain sarung lipat didepan serta memakai selendang yang lebih kecil. Lehernya dihiasi dokoh papan memakai hiasan kepala pemeleh dan sunting malai.

Busana Kelantan7
Busana klasik Cik Siti Wan Kembang berkemban jantan dan kain limar juga motif teluk berantai. Memakai selendang songket lepas ditenun sarat benang emas motif pucuk rebung dan bunga tanjung. Leher dihiasi dokoh dan memakai tali pinggang, pending serta sanggul berjurai.

Busana Kelantan8
Pakaian persembahan Mak Yong yang dimodenkan. Baju kemban broked keemasan dan kain ketat, diperindah dengan siba layang dan dendek menghiasi dahi.

Busana Kelantan9
Lelaki berbaju Sikap pilihan putera raja daripada fabrik sutera tenun motif tapak catur, dipadankan dengan Baju Melayu Teluk Belanga dan seluar panjang, samping lepas, bengkung serta destar.

Busana Kelantan10
Baju Sikap dipakai dengan kain lepas dan bengkung. Pakaian pembesar Kelantan di masa dahulu.

Busana Kelantan11
Lelaki memakai Baju Sikap Kelantan butang sebutir sut lengkap dipakai bersama samping ikat lepas dan tengkolok corak tapak catur. Wanita memakai busana Cik Siti Wan Kembang yang direka dari songket sulaman aplikasi. Selendang panjang dari tenunan songket jong sarat. Perhiasan diri ialah mahkota, dokoh dan pending gadang.

Busana Kelantan12
Sepasang baju petani rakyat Kelantan. Lelaki memakai Baju Melayu Teluk Belanga corak tapak catur, bersamping kain batik ikat serong dan semutar. Wanita berbaju Kota Bharu, berkain batik selisih dan penutup kepala dari kain semutar.

Melayu Sebagai Cara Hidup Dan Bukan Sekadar Warisan, kebudayaan, kesenian dan Sejarah

oleh Johan Iskandar

gambarnya mana boss? tak boleh imagine ni... uhuhu


Nanti kita susun balik dan selidik balik dgn org sana.
All times are GMT +8. The time now is 1:21 am.